Friday, November 25, 2011

Najla - Si Bintang Hati

Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim


Pagi itu 14 November, setelah diberitahu yang K.Ngah sudah sakit mahu bersalin dan ambulans akan menghantarnya ke hospital Temerloh, saya, emak dan abah terus bersiap. Emak dan abah, walaupun gembira, namun terselit juga kebimbangan.


Dalam perjalanan, emak dan abah bercerita tentang kelahiran anak-anak. Saya lebih suka mendengar dan sesekali menyampuk. Ternyata, perasaan bahagia untuk bergelar aki dan nenek sangat-sangat kelihatan diwajah mereka.


Mereka lebih banyak bernostalgia. Mengingati waktu kelahiran anak-anak. Membilang, berapakah anak yang dilahirkan dirumah, dan anak yang dilahirkan dihospital. Abang long dihospital. K.Ngah, Abang De, dan Alang di rumah.


Awak lahir dekat rumah kan..?


Taklah mak, dekat hospital.


Yeke, rasanya dekat rumah.


Entahlah, tapi dalam surat beranak, tulis dekat hospital. 


Namun mereka lebih banyak bercerita mengenai abang long. Mungkin kerana, debaran menanti yang pertama itu  masih lagi dirasai sehingga kehari ini. Yang sulung itu kan buah hati, buah cinta. Dan saya tidaklah berkecil hati emak tidak begitu mengingati detik-detik kelahiran saya. Kerana, disisi lain, ada perkara yang emak lebih mengingati saya. Setiap anak-anak, ada istimewa yang tersendiri. Namun begitu, bertuah juga, siapa yang dilahirkan sebagai anak sulung, debarannya lebih dekat dihati.


Kata emak, Abang Long lahir ketika masuk waktu maghrib. Dan emak menambah lagi, orang-orang dahulu kata, kalau lahir waktu maghrib, nak halau ayam masuk reban, senang.


Saya ketawa besar. Dalam hati berfikir , abang long , ada ke halau ayam masuk dalam reban? Makan ayam, banyaklah.. keh3


Mungkin perkara itu nampak lucu dalam zaman dunia dihujung jari ini. Emak kemudian menambah  kenyataan, orang dahulu, apa yang dibuat, akan dikaitkan dengan apa yang ada didepan mata. 


Walaupun tak berapa signifikan sangat  kenyataan itu, namun bila difikirkan semula, memang orang-orang dahulu, waktu-waktu maghrib akan halau ayam masuk reban sebab takut hilang dan takut ayam kena makan dengan binatang buas. Rasanya pernah buat kerja halau menghalau ayam masa kecik-kecik dulu. he he.


Kami sampai dihospital dulu sebelum K.Ngah yang 'delay'  kerana  ambulans rosak. Dari jauh sudah nampak van yang  tertulis 'Klinik Kesihatan Bera' , saya dan emak sudah mengagak bahawa dalam van tersebut ada K.Ngah.


Emak menanti dipintu. K.Ngah pula  sudah ditolak oleh staff  Klinik dari perut ambulans. Entah kenapa. ada rasa sebak memandang wajah emak dan K.Ngah.  Emak tersenyum tanpa kata. Dan K.Ngah memandang emak sayu dengan wajahnya yang pucat, mungkin menahan kesakitan.


Abang ipar sampai  bersama emaknya. Dari jauh, wajah pucat itu sudah kelihatan. Resah dan tidak duduk diam. Sesekali keluar ke bahagian depan , kemudian masuk semula dan duduk sambil meraup muka, menghilangkan bimbang. Iyalah, ada dua nyawa orang tercinta yang sedang bertarung dengan maut  - satu nyawa isteri, satu nyawa si anak. Terpandang saya buku ditangganya, 'Amalan ketika mengandung, dan selepas bersalin'.


 Alang yang  sangat 'excited' menelefon ketika berada didalam bas Kuala Lumpur - Temerloh,  lantas dia bertanya, 'kenapa kak ngah lama sangat?'


Alah. macam biasalah, macam dalam cerita-cerita. Dan saya terkekeh-kekeh gelakkan dia yang kalut dari ibu yang mengandung. =p


Kedua-dua emak ini berbicara-emak saya dan emak abang ipar. Menceritakan keadaan K.Ngah, juga menceritakan pengalaman masing-masing sewaktu melahirkan anak-anak. Saya hanya kaku mendengar.
 .

Sakit ke mak?


Allah, macam  nyawa hujung tanduk.


Sebab itulah nabi kata, siapa yang kena hormat lebih, emak, emak, emak. Emak menambahkan perisa dalam cerita. Saya hanya menelan air liur.


Setelah hampir seharian menunggu, pada pukul 3.30 petang itulah dia lahir. Saya yang ketika itu sedang membaca buku, terkejut ketika abang ipar tiba-tiba keluar dari labour room, dan meluru kearah kami.


Alhamdulillah mak, selesai dah. Dia menyampaikan.


Pelukan dari emak dan ucapan tahniah untuknya kerana sudah bergelar seorang ayah. Saya tersenyum memerhati babak indah itu.


Seram ke abang Jalal tengok tu tadi? Saya bertanya.


Seram lah jugak. Bila lubang  tu besar lima puluh sen,  dah nampak rambut dan  kepala dia sikit-sikit, nampaklah semua dari mula, sampailah dia potong tali pusat tu, lepas tu letak baby atas badan K.Ngah.


Dan saya  tambah-tambah lagi telan air liur. Cerita-cerita orang bersalin yang saya dengar memang betul-betul buat rasa bulu roma naik lapan inci.



Abang ipar saya sedang mengiqamatkan dia.



Dia, si bintang hati.- Setengah jam selepas melihat dunia.


 
Assalamualaikum semua! Nama saya Najla Rufayda binti Jalaludin. Umur saya sepuluh hari. Saya mahu jadi anak solehah untuk ummi dan ayah!



Najla Rufayda, itulah dia, si bintang hati dalam keluarga kami. Ahli baru, kedatangannya dinantikan semenjak saya masih di Jordan lagi. Najla, mak andak sayang Najla. Besar jadi anak solehah yer sayang!



Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya 
Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu.
 Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai. - Al-Hajj : 5


 * Semenjak dia lahir, saya lebih sibuk. (kononlah). Bangun pagi, terus teringat dia. Ada waktu lapang, duduk mengadap muka dia lama-lama. Maklumlah, sudah lama keluarga kami tiada 'budak kecik'.


* Selamber jerk tak cari kerja kan. ha ha ha.


* Oh, janganlah isi link blog nie dalam FB, koi malu!



ismiizzah,
24 Nov 2011
Rumah.

1 comments:

star writerzz... said...

mabruk kak izzati dpt ank sedare baru...tp yg sy muyskil nye kak izzati..bile pulak abg ipar n kakak kak izzati tu nak dpt ank sedare baru ek..?? hehehe (^_^)